14 MAC: Konvensyen DAP Perak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh, Perak kecoh seketika apabila timbul dakwaan berlaku penipuan jumlah perwakilan yang dibenarkan untuk mengundi ahli jawatankuasa DAP negeri.
Difahamkan kekecohan itu berlaku sebaik saja Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selesai berucap merasmikan Konvensyen DAP Perak ke-19 yang dihadiri kira-kira 2,000 perwakilan dan ahli DAP negeri.
Difahamkan dakwaan itu timbul apabila kumpulan dipercayai memihak Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran mengatakan pihak penganjur terus membenarkan perwakilan membuat pendaftaran untuk mengundi lebih daripada masa yang ditetapkan.
Sementara itu Thomas Su Keong berkata, kekecohan itu disebabkan proses pendaftaran pemilih yang sepatutnya tamat pada 10 pagi, tetapi tiba-tiba disambung sehingga 12 tengah hari.
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan ruang harus diberikan kepada semua pemilih, sekali gus pemilihan boleh dijalankan secara adil, bukannya memberi kelebihan kepada mana-mana pihak.
“Sepatutnya buka pendaftaran pemilih kepada semua, bukan kepada ahli-ahli tertentu. Kita pun boleh panggil ahli kita,” katanya kepada pemberita di konvensyen itu.
Senada dengannya, ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu, yang turut berada di dalam dewan itu juga mendapati aduan berkenaan timbul ekoran pihak pengurusan pemilihan yang masih mendaftarkan pengundi atau perwakilan selepas 10 pagi dan berterusan sehingga 11.30 pagi.
Seorang lagi perwakilan yang enggan dikenali berkata, pengundi hantu dikesan kerana mereka tidak mempunyai tag nama yang ditetapkan dan maklumat peribadi mereka ditulis menggunakan pen, bukannya dicetak seperti perwakilan lain.
Menurut buku konvensyen yang diedarkan kepada media, antara urusan rasmi hari ini adalah pemilihan 15 ahli ke Jawatankuasa Negeri, pembentangan dan penerimaan akaun penyata kewangan, selain penerimaan usul atau pengisytiharan dikemukakan Jawatankuasa Negeri.