14 MAC : Sebuah kelab rekreasi di Triang, Pahang dikenakan kompaun paling tinggi setakat ini iaitu sebanyak RM50,000 kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin menjelaskan, kompaun tersebut dikeluarkan ekoran kelab itu melakukan kesalahan mengadakan tarian singa dan juga tiada penjarakan meja makan.
“Berdasarkan laporan kami menerima maklumat berlangsung penganjuran majlis perasmian sebuah kelab pada 12.30 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan, kelab terbabit didapati melanggar peraturan SOP PKPP iaitu mengadakan tarian singa dan tiada penjarakan meja makan.
“Berikutan itu, kompauan RM50,000 dikeluarkan terhadap pengerusi kelab berumur 47 tahun itu,” ujar.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Kadar kompaun baharu itu mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 telah dikuat kuasakan sejak 11 Mac lalu.
Menerusi pindaan Ordinan Darurat tersebut, individu yang melanggar SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000.
Syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.