14 MAC : Siasatan penuh berkenaan dakwaan individu yang menjalani tempoh kuarantin di sebuah hotel di Ipoh mendapat hidangan yang mempunyai babi akan dilaksanakan oleh pihak polis.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Khairul Ridzuan Mat Said, berkata pihaknya juga sudah sedia maklum berhubung perkara itu.
“Kita sedang menyiasat mengenai kenyataan yang ditularkan oleh individu itu dan pihak kami (MKN) sudah sedia maklum berhubung perkara berkenaan sejak dua hari lalu.
“Kita sudah serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial seorang individu yang menjalani tempoh kuarantin di sebuah hotel di bandar raya ini mendakwa, mendapat hidangan yang mempunyai babi.
Individu itu yang mengakui sedang menjalani kuarantin di hotel berkenaan mendakwa kakitangan sudah pun sedia maklum sejak dari awal dirinya sebagai ‘vegetarian’, selain mengesahkan makanan yang dihidangkan hanya ayam.
Dia juga mendakwa, kebanyakan makanan yang disediakan tidak mempunyai label dan mula meragui ayam yang dihidangkan tidak mempunyai rasa seperti ayam.
Individu itu juga terkejut apabila hidangan makan malam tertera tulisan babi dan bukannya ayam seperti yang dimaklumkan sebelum ini.
Dalam pada itu, Khairul Ridzuan memberitahu segala urusan berkaitan makanan, penginapan, keperluan asas penghuni secara umumnya adalah di bawah tanggungjawab agensi di pusat kuarantin.
“Jawatankuasa yang bertanggungjawab daripada agensi ini mungkin akan menyemak semula adakah perkara ini benar atau tidak,” katanya.