15 MAC: Sebanyak 59 majikan dari seluruh negara bakal menjadi kumpulan pertama syarikat dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Standard Minimum, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (pindaan 2019).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Saravanan berkata, sebahagian besar daripada majikan yang bakal dihadapkan ke mahkamah berkenaan adalah terdiri daripada syarikat pengeluar sarung tangan getah, pengeluar perabot dan kilang industri pembuatan.
Katanya lagi, syarikat berkenaan adalah sebahagian daripada 3,452 majikan yang diperiksa membabitkan 101,726 pekerja terdiri daripada 11,046 pekerja tempatan dan 90,677 pekerja asing sejak
“Hasil pemeriksaan secara berterusan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membawa kepada pembukaan 124 kertas siasatan di bawah Akta 446 membabitkan majikan pelbagai sektor termasuk pembuatan sarung tangan getah, perabot, pembinaan, peruncitan dan perkilangan di seluruh negara.
“Daripada jumlah 124 kertas siasatan, 115 kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan 70 kes bakal dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat mengikut Seksyen 24D, Seksyen 24H, Seksyen 24J serta Peraturan 3 dan 4 di bawah Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan Berpusat) 2020.
“Jika disabitkan kesalahan semua majikan berkenaan boleh didenda maksimum RM50,000 bagi setiap kesalahan,” katanya dalam sidang media di Kementerian Sumber Manusia di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata Ordinan Darurat yang dikuatkuasakan pada 26 Februari 2021 memberi kuasa tambahan kepada Kementerian Sumber Manusia untuk mengeluarkan arahan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat untuk menggantikan, mengubah dan membaiki penginapan dan kemudahan yang tidak mematuhi Akta 446.
Beliau berkata penguatkuasaan ordinan berkenaan juga membolehkan kementeriannya mengeluarkan arahan kepada majikan dan penyedia penginapan berpusat sementara kepada pekerja bagi mana-mana penginapan yang difikirkan tidak sesuai dan tidak selamat untuk diami oleh manusia.
“Majikan dan penyedia penginapan berpusat yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Sepanjang penguatkuasaan Akta 446 di bawah Ordinan Darurat dilaksanakan pada 26 Februari lalu, sebanyak 3,256 majikan telah dipercayai dan membabitkan 17,576 penginapan.
“Daripada jumlah itu lapan kertas siasatan dibuka dan diberikan keizinan untuk kompaun mengikut Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan 2021),” katanya.
Berikutan itu Saravanan mengulangi peringatan kepada semua majikan dan penyedia penginapan berpusat yang masih belum lagi membuat sebarang permohonan perakuan penginapan supaya segera berbuat demikian demi mengelak mereka dikenakan tindakan yang lebih keras mengikut Akta 446.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan melanggar Akta 446 kerana ia boleh menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa termasuk di mata Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.
Info Akta 446:
1. Seksyen 24D: tiada perakuan penginapan
2. Seksyen 24H: Bangunan penginapan tidak sesuai didiami
3. Seksyen 24J: gagal menyediakan penginapan berasingan untuk pekerja berlainan jentina
4. Peraturan 3: Gagal mematuhi kehendak minimun kelas bangunan dormitori bagi penyediaan bilik air dan tandas mengikut nisbah satu bilik air dan tandas bagi 15 pekerja.
5. Peraturan 4: gagal menyediakan kemudahan asas yang tidak boleh dikongsi seperti katil, tilam, dan almari berkunci