PADA Hari Pengguna Kebangsaan 2021 sempena Hari Hak Pengguna Dunia 2021, kami merakamkan selamat menyambut hari pengguna kepada semua warga rakyat Malaysia.
Hari ini 15hb Mac, disambut Hari Hak Pengguna Sedunia adalah peluang untuk menarik keprihatinan semua pihak kepada hak asas pengguna dan menghormati serta melindungi hak pengguna.
Dalam masa yang sama soal praktik komersial yang tidak adil , serta ketidaksaksamaan sosial juga perlu ditekankan. Amalan tidak adil kepada pengguna sebenarnya menafikan hak pengguna.
Kami menyeru pengguna meningkatkan tahap celik kepenggunaan supaya menjadi pengguna yang lebih bermaklumat, waspada dan berhemat.
Kami sedar kepenggunaan (cosumerism) kini sudah menguasai hidup seluruh manusia dimana sahaja sehingga pengguna mudah terperangkap kepada eksploitasi dan penipuan dalam pasaran.
Di peringkat antarabangsa, menyuarakan hak pengguna menjadi sangat penting akibat rempuhan pelbagai syarikat multinasional yang cuba meraih keuntungan maksima di atas kelemahan kesedaran pengguna.
Kami mengambil perhatian berat betapa membangunkan negara yang lestari semakin mencabar akibat pelbagai isu yang mendepani rakyat Malaysia sebagai pengguna.
Pembangunan yang perlu berciri mapan dan lestari sewajarnya menjadi matlamat kepada usha menjadikan negara ini negara yang memenuhi kriteria 17 Matlamat Pembangunan Mapan (SDG – Sustainable Developement Goal) yang telah disepakati di Perhimpunan Agung PBB pada September 2015 untuk dicapai pada 2030.
Pandemik COVID-19 yang berlanjutan kesannya kepada kelembapan ekonomi telah merencatkan pelbagai usaha menangani isu kos sara hidup sekali gus kualiti hidup pengguna. Nasib pengguna B40 kini terjejas teruk akibat ekonomi yang lembab. Pembuangan pekerja, penguncupan pendapatan dan kehilangan peluang kerja memaksa pengguna mencari alternatif di samping mengharapkan bantuan daripada kerajaan.
Kami menasihatkan seluruh pengguna di negara ini untuk terus mengamalkan budaya kepenggunaan yang berhemat, cermat dan lestari. Setiap perubahan tingkah laku pengguna ke arah pembangunan lestari sangat bermakna.
Penglibatan pengguna untuk membantu pembangunan negara secara mapan perlu diaktifkan dengan mengamalkan tabiat kepenggunaan yang mesra alam disemua peringkat. Sikap tidak sensitif kepada alam bukan sahaja menjejaskan persekitaran malah juga memberi kesan kepada kualiti hidup pengguna.
Tema tahun ini yang dikaitkan dengan menangani isu pencemaran plastik sangat releven sebagai suatu usha melindungi alam dari pencemaran yang semakin parah akibat pembuangan jutaan tan plastik setiap hari yang mengancam kualiti alam sekitar.
Sambutan hari pengguna tahun ini perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak lantaran dunia kini sedang berdepan dengan krisis yang semakin meruncing.
Krisis dunia kini sangat beragam dan rencam. Daripada krisis, sosial, ekonomi, alam sekitar, kesihatan, perubahan cuaca, bencana alam, kebuluran, keselamatan hingga kepada konflik antara dan di dalam negara.
Pengguna akan terkesan dengan sangat mendalam dan jutaan pengguna di dunia terpaksa mengubah suai kehidupan supaya lebih mesra alam dan mementingkan kepentingan generasi masa depan.
Oleh yang demikian memperkasakan pengguna bestari sangat penting. Kesedaran bukan sahaja mengenai hak pengguna diterapkan akan tetapi sekaligus tanggungjawab pengguna perlu seiring.
Semenangnya , untuk melindungi pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkukuhkan, akan tetapi jika kesedaran kawal diri pengguna tidak ditekankan, krisis yang dihadapi bakal menjadi lebih meruncing.
Kami menyeru semua gerakan dan organisasi pengguna meningkatkan kapasiti keorganisasian masing-masing supaya lebih berkesan dalam peranan menyuarakan isu pengguna sekaligus mendidik masyarakat pengguna bestari.
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara