15 MAC : Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Chendering, Kuala Terengganu, semalam.
Perkara itu dikongsikan Hadi menerusi Facebook miliknya semalam yang menyatakan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 antara ikhtiar selain bertawakal kepada ALLAH.
“Alhamdulillah, hari ini (semalam) saya telah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Chendering.
“Vaksin COVID-19 merupakan salah satu bentuk cara untuk meningkatkan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat, supaya memiliki daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, semalam.
Dalam pada itu, Hadi memberitahu fokus kerajaan kini untuk menjaga keselamatan rakyat sebagai keutamaan, dalam fasa kita berperang dengan wabak ini terutamanya keselamatan dari sudut kesihatan.
“Pada masa yang sama, pihak kerajaan berusaha memulihkan ekonomi rakyat yang teruk terjejas akibat wabak yang kita sedang hadapi,” katanya.
Sementara itu, Hadi yang merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata para ulama menyatakan satu kaedah fiqh yang bermaksud, ‘kemudaratan itu disingkirkan’.
Jelasnya, sesuatu kemudaratan itu dihilangkan atau disingkirkan melalui pelbagai cara, antaranya adalah dengan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sesuatu bahaya yang bakal menimpa.
“Oleh itu, pengambilan vaksin turut termasuk dalam cara menyingkirkan kemudharatan. Maka, vaksinasi ini turut bertepatan dengan kaedah fiqh yang disebutkan di atas.
“InsyaAllah, dengan adanya vaksin ini kita dapat mengurangkan jangkitan wabak penyakit COVID-19,” katanya.
Justeru itu, Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang menyeru kepada semua rakyat Malaysia dan bukan warganegara yang menetap di Malaysia untuk segera mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.
“Semoga usaha murni yang dijalankan itu diberkati oleh Allah SWT untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat,: katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH