15 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri akan mengumumkan keputusan muktamad bersama mufti berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut Kristian, esok.
Katanya, keputusan itu akan dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan bersama Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan pakar undang-undang.
Mengulas berhubung respon umat Islam berhubung isu berkenaan, katanya, beliau ingin mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang terlebih dahulu bagi mengenalpasti tindakan segera yang terbaik.
“Isu penggunaan kalimah Allah ini membabitkan teknikal dan akidah. Apa diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sejak 2008 sudah jelas.
“Malah, buku yang saya tulis sejak 2013, iaitu Kalimah Allah : Isu dan Penyelesaiannya turut menegaskan hal sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, menurut sumber, agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri sudah diminta untuk memberikan penjelasan terperinci kepada masyarakat berhubung isu kalimah Allah ini menerusi pelbagai saluran media.
Jumaat lalu, Zulkifli menghadiri Mesyuarat Khas Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan isu sama.
Mesyuarat itu turut dihadiri Panel Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris dan 15 ahli panel.
Isu berkenaan hangat diperkatakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu, memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, selain perkataan solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama itu untuk pendidikan dalam komuniti. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN