12 MAC : Malaysia terus konsisten merekodkan kes sembuh melebihi 1,000 kes iaitu 1,973 kes manakala kes positif sebanyak 1,208 kes.
Sebanyak tiga kematian dilaporkan manakala kes aktif pula terus menunjukkan penurunan iaitu 15,551 kes berbanding semalam, 16,279 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 155 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 70 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut beliau, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 577 kes dan daripada jumlah ini, sebanyak 471 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 178 kes dan Pulau Pinang sebanyak 154 kes. Sebanyak 64 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Tapah (57 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (2 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (2 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (2 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes).
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masing-masing satu kes di Selangor dan Sarawak. Keempat-empat kes merupakan warganegara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 813 kluster telah ditamatkan termasuk lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Batu 57, Kluster Jalan Kuala Selangor, Kluster Tanjung Megah, Kluster Tembok Renggam, dan Kluster Jalan Jelatek
“Jumlah kluster aktif kini adalah 424 kluster dan jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 64 kluster.
“Kluster Tembok Tapah (57 kes), Kluster Jalan Kebun Nenas (30 kes), dan Kluster Rawang Bestari (28 kes), ” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu terdapat tiga kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan dua kluster berkaitan tempat kerja dan selebihnya adalah kluster melibatkan komuniti.
Tambah beliau, kawasan tersebut adalah di Jalan Tun Mutalib Tiga, Johor; Jalan Sutera, Selangor dan Begalak di Sarawak. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH