15 MAC: Polis mengesahkan telah memanggil pasangan kekasih yang memuat naik kes mereka dikompaun RM10,000 sedang makan dan minum di Cheras, kelmarin di media sosial mereka bagi membantu siasatan di Bukit Aman, semalam.
Pasangan terbabit dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, petang semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, berdasarkan siasatan awal pasangan itu dikenakan kompaun oleh sepasukan pegawai penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan.
“Pasangan berkenaan dikesan memuat naik kenyataan mereka dikompaun sedang makan dan minum selain kecewa dengan tindakan penguat kuasa yang dianggap mengeluarkan kompaun secara salah dan tidak masuk akal.
“Hasil siasatan yang dibuat mendapati bukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengeluarkan kompaun berkenaan sebaliknya satu pasukan penguat kuasa daripada sebuah agensi kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata pada masa ini pihak polis sudah merakam percakapan ke atas kedua-dua pasangan terbabit bagi membantu siasatan.
“Kita juga akan meneliti kes berkenaan selain merujuk dakwaan pasangan itu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang berperanan sepenuhnya atas kompaun yang dikeluarkan,” katanya.
Terdahulu pasangan itu memuat naik situasi kejadian yang berlaku di mana mereka mendakwa masih memakai pelitup muka semasa membuat pesanan pada jam 11.14 pagi, kemudian menanggalkan pelitup muka sebaik minuman mereka dihidangkan pada jam 11.16 pagi.
Pada jam 11.37 pagi semalam, mereka didatangi sekumpulan 10 pegawai semasa makanan dan minuman berada di atas meja sebelum pegawai terbabit mengarahkan mereka mengeluarkan kad pengenalan untuk tindakan kompaun.