13 MAC: Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia berada pada tahap 63.1 peratus dan dikategorikan sebagai tahap sederhana.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi indeks itu menunjukkan bahawa masyarakat di negara ini masih belum benar-benar menghayati dan mempraktikkan hak mereka sebagai pengguna.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), katanya, menyasarkan Indeks Pendayaupayaan Pengguna di negara ini dapat ditingkatkan melebihi 85% dalam masa dua tahun.
“Bagi menggalakkan pengguna lebih menghayati dan mempratikkan hak mereka, KPDNHEP akan terus merangka program advokasi di setiap peringkat masyarakat dalam usaha menangani isu kepenggunaan semasa.
“Kementerian ini juga akan memainkan peranan lebih aktif secara berterusan dalam mendidik pengguna mengenai kelestarian alam sekitar dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan masyarakat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia dan Hari Pengguna Kebangsaan 2021, hari ini.
Alexander berkata, perkara itu menjadi keutamaan kementerian untuk mengembangkan strategi berkesan yang memberi kuasa kepada pengguna menyesuaikan diri dengan cara hidup yang mampan.
Strategi itu juga membolehkan pengguna untuk menangani masalah kepenggunaan, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan seharian masyarakat. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN