15 MAC: Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menganggap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya bermimpi di siang hari kerana beranggapan UMNO akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Onn Hafiz berkata kenyataan Anwar bahawa PKR kini sedang merintis persefahaman dengan UMNO dianggap sebagai mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan.
Beliau berkata, sebagai pemimpin muda parti, beliau percaya ketetapan No Anwar NO DAP tetap akan terus menjadi pegangan semua peringkat ahli parti UMNO dan ianya tidak akan berubah.
“Cukuplah dengan 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan yang telah banyak merugikan rakyat. Jangan sesekali cuba untuk mengelirukan rakyat khususnya keseluruhan ahli Umno kerana semua sudah tahu permainan Anwar Ibrahim terutama sekali ketika terdesak dan kehilangan sokongan daripada ahli parti itu sendiri.
“Kami diperingkat akar umbi tidak sesekali akan mudah percaya terhadap permainan ini kerana sudah masak dengan cara beliau berpolitik terutama sekali untuk memperdayakan rakyat, ketetapan ini harus dibuat semasa perhimpunan agung UMNO akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar yang dipetik daripada satu wawancara dalam sebuah akhbar semalam.
Mengulas lanjut, Onn Ghazi berkata apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim ini hanyalah sekadar untuk menarik perhatian umum terhadap dirinya yang sudah kehilangan kepercayaan bukan sahaja diperingkat kepimpinan tertinggi parti namun juga ahli akar umbi PKR.
“Sudah jelas lagi bersuluh tidak ada perjanjian persefahaman dengan pemimpin parti itu dan kenyataan yang dikeluarkan olehnya itu hanya sebagai “Syok sendiri” sahaja.
“Tidak akan ada persefahaman antara Umno dan PKR, ini kerana kami akan terus kukuh dengan prinsip No Anwar No DAP,”katanya.