15 MAC: PAS menyambut baik saranan Perdana Menteri bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah suatu tawaran baharu kepada rakyat Malaysia, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tawaran baharu dikemukakan oleh PN juga akan mewujudkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan mengekalkan keharmonian antara kaum.
Justeru, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat berkata, PAS menggesa semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN.
“PAS berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang, konsep adil untuk semua, kepimpinan berintegriti dan berakhlak budiman serta mengambil pendekatan politik yang menyatukan ummah.
“PAS menolak pendekatan ekstrim, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk,” katanya Ahli Parlimen Marang berkenaan dalam satu hantaran di Facebooknya di sini, hari ini.
Terdahulu Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) secara dalam talian menyatakan PN adalah tawaran baharu kepada rakyat yang akan terus kekal untuk tempoh panjang.
Muhyiddin juga menegaskan, PN diyakini akan menjadi gabungan parti politik pilihan utama dan kekal sebagai sebuah gabungan politik berkongsi aspirasi negara bagi generasi akan datang dan mahu memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan berdaya saing.
Berikutan itu Abdul Hadi berkata, PAS juga mengambil pendekatan menyokong konsep keadilan untuk semua, kepemimpinan berintegriti dan berakhlak budiman serta mengambil pendekatan politik yang menyatukan ummah.
“Justeru PAS menyeru semua pihak supaya mendukung pendekatan sederhana, prihatin rakyat dan berkebajikan yang dibawa oleh PN, dan menolak pendekatan ekstrem, oportunis dan melampau yang tidak sesuai dengan negara Malaysia bermasyarakat majmuk,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI
Get real time updates directly on you device, subscribe now.