15 MAC: “Kita sebagai penguat kuasa, hendaklah satu langkah di hadapan orang awam, maksudnya kita kena sentiasa patuh undang-undang ,” tegas Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas satu muat naik di Facebook Polis Kedah berhubung tindakan pemeriksaan dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di pintu masuk IPK itu.
Dalam pemeriksaan itu, pegawai dan anggota polis IPK berkenaan, selain kakitangan awam diperiksa.
Antara pemeriksaan dijalankan adalah pemeriksaan dokumen sulit, pemeriksaan kenderaan dan pemeriksaan pas keselamatan.
Beberapa kenderaan milik mereka turut disaman kerana melanggar undang-undang jalan raya, seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Hasanuddin berkata, operasi itu sebagai memberi peringatan kepada pegawai polis, anggota polis dan kakitangan awam awam berkenaan bahawa mereka juga mesti mematuhi undang-undang.
“Dari semasa ke semasa kita periksa. Bukan mahu mencari kesalahan, tetapi untuk memastikan mereka juga perlu mengikut undang-undang seperti mana orang lain juga.
“Ketika saya menjadi Ketua Polis Kelantan sebelum berpindah ke Kedah tahun lalu, saya juga melakukan operasi sama sana,” katanya.