15 MAC : Aktiviti rekreasi laut dan sungai di Sabah seperti selam skuba, selam snorkel dan memancing mengikut prosedur operasi standard (SOP) termasuk dengan kapasiti 50 peratus berkuat kuasa mulai esok.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kebenaran itu diberikan ekoran pindaan SOP yang dibuat bersesuaian dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini.
Jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini, jumlah penumpang bagi bot laju terbuka dan tertutup yang membawa individu untuk aktiviti rekreasi laut dan sungai juga dibenarkan mengikut kapasiti tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter antara penumpang.
Mengulas tentang perkembangan COVID-19 di Sabah hari ini, beliau berkata, sebanyak 39 kes baharu positif dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di Sabah sebanyak 53,903 kes.
“Seramai 158 pesakit COVID-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan jumlah kumuatif pesakit sembuh seramai 52,869 orang,” jelasnya yang juga merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19.
“Berkenaan vaksinasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri pula, setakat ini seramai 2,975 individu lagi telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25,439 penerima sejak program berkenaan dilancarkan pada 4 Mac.