15 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Pejabat Penguam Negara (AG) untuk mendakwa individu terbabit dengan kartel daging import haram.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, berkata pihaknya sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kartel daging import haram berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara, untuk tindakan selanjutnya, kira-kira dua minggu lalu.
Justeru, Azmi berkata pihaknya kini sedang menunggu keputusan dari Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Katanya sejak Disember tahun lalu, pegawai SPRM telah melakukan siasatan secara terperinci dengan mengumpulkan bukti berkaitan kes terbabit.
Katanya, seramai 12 orang suspek termasuk pemilik syarikat, kakitangan agensi kerajaan dan penguatkuasa serta ejen penghantar telah ditahan sepanjang siasatan itu berlangsung.
“Kertas siasatan kes kartel daging telah disiapkan dan pada peringkat awal ini kita tak tahu lagi keputusan dari Pejabat Peguam Negara.
“Sekiranya sudah ada keputusan, kita akan buat tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Cakera Padat Pencegahan (CPP) di Ibu Pejabat SPRM Negeri Johor, hari ini.
Pada awal Disember tahun lalu, negara digemparkan dengan kewujudan kegiatan kartel mengimport daging dari beberapa negara yang tidak halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual dan dibekalkan di pasaran tempatan.
Serbuan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bersama agensi-agensi lain di sebuah gudang di Senai, sekali gus mendedahkan kegiatan itu.
Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, mengesahkan SPRM sudah membuka kertas siasatan berhubung kes kartel daging import haram dan siasatan mengenai perkara itu masih berjalan, bagaimanapun setakat ini kerajaan masih belum menerima laporan mengenainya.
“Saya difahamkan pihak berkuasa kini sedang membuat siasatan sehingga ke akar umbi. Antara kementerian terbabit dalam siasatan itu ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri kerana ia membabitkan sijil halal.
“Siasatan dibuat berdasarkan perundangan dan sekiranya ada pelanggaran undang-undang, tindakan akan diambil. Jadi buat masa ini kita tunggu laporan siasatan nanti,” katanya dalam satu kenyataan media, awal tahun ini.