15 MAC : Setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada seorang menteri mengalami kemalangan apabila kenderaannya terlanggar sebatang besi dan terbabas di Kilometer 14.6 Lebuhraya Utara Selatan hala ke Damansara, Petaling Jaya, awal pagi tadi.
Difahamkan mangsa adalah SUSK Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan mangsa hanyalah mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, lelaki berusia 47 tahun itu memandu Proton X70 bersendirian dikatakan terlanggar sebatang besi di tengah lebuh raya sebelum ia melantun ke cermin hadapan.
Batang besi itu kemudian menembusi cermin hadapan dan terkena mangsa sehingga menyebabkannya patah tulang hidung serta cedera bahagian pipi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata akibat kejadian itu, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar penghadang kiri jalan.
“Objek batang besi berkenaan berkemungkinan terjatuh daripada lori yang melalui kawasan itu kerana pemeriksaan mendapati tiada kerja pembinaan dijalankan ketika kejadian.
“Mangsa yang cedera dikejarkan ke sebuah hospital swasta berhampiran untuk rawatan dan kenderaannya pula mengalami pelbagai kerosakan pada bahagian hadapan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Nik Ezanee berkata, saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Al Rassid Borhanudin di talian 019-9905570 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662176.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.