16 MAC: Tiga lelaki berusia 33 hingga 63 tahun dikompaun RM10,000 setiap seorang, selepas didapati tidak memakai pelitup muka di Manjung, Perak hari ini.
Difahamkan, mereka adalah kumpulan pertama di Manjung yang dikenakan kompaun dengan jumlah itu selepas nilai kompaun gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tindakan itu diambil pasukan penguat kuasa pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dan Balai Polis Ayer Tawar ketika menjalankan pemantauan selama tiga jam dari jam 10 pagi hingga 1 petang.
“Semua kesalahan ini dilakukan di Taman Samudera dan pekan Ayer Tawar.
“Kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada mereka mengikut Ordinan Darurat bagi kesalahan tidak melakukan langkah pencegahan (Peraturan 18) PPPPPB 2021 (NO. 4) yang berkuat kuasa mulai 11 Mac lalu,” katanya menerusi satu kenyataan.