16 MAC : Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan sehingga semalam, seramai 623,443 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan COVID-19 yang membabitkan 32,218 majikan di seluruh negara.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 9,772 telah disahkan positif COVID-19 manakala 613,671 lagi adalah negatif.
“Sementara itu, seramai 4,957 warga asing di negara ini menjalani ujian saringan semalam dengan 71 individu disahkan positif COVID-19.
“Sehingga kini juga, sebanyak 1,525 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya menerusi sidang media di Kementerian Pertahanan Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, beliau memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 134 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 127 individu dikompaun manakala tujuh orang pula direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod butiran
diri/pelanggan (36), tidak memakai pelitup muka (31) dan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (26).
“Selain itu, kesalahan yang turut dicatatkan
iaitu tiada penjarakan fizikal (20), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (17) dan lain-lain (4),” katanya.
Sementara itu, berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta tiga buah kenderaan darat dan sebuah bot.
Dalam operasi itu juga, beliau mengesahkan terdapat 77 buah bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.
Menerusi sidang media sama, Ismail Sabri turut memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 145,929 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 77 hotel dan 12 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.
“Semalam, seramai 613 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.
“Seramai 1,039 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 137,791 individu dibenarkan pulang, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH