16 MAC: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, menzahirkan keyakinan bahawa UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu menguasai semua 149 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu, sekiranya ketiga-tiga parti berkenaan tidak bertembung sesama sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata tiga parti itu berpotensi besar untuk memenangi semua kerusi majoriti Melayu pada PRU-15 jika terus mengekalkan permuafakatan dan tidak berpecah.
“Kita ada 222 kerusi Parlimen, termasuk 31 di Sarawak. Kawasan berpotensi ditandingi BN dan rakan lain ada 191 kerusi, namun kawasan majoriti Melayu mempunyai 149 kerusi.
“Dalam 149 kerusi ini, kalau ada permuafakatan serta tidak berpecah, kita berpotensi untuk memenangi semuanya. Jadi, formula kemenangan sudah ada dalam kerajaan hari ini,” katanya dalam wawancara bertajuk ‘UMNO: Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN)’ di TV Pertiwi, malam tadi.
Biarpun mungkin sukar, namun Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan yakin isu petikaian dan perebutan kerusi PRU-15 antara UMNO, PAS dan Bersatu dapat diselesai baik jika ketiga-tiga Presiden parti dapat duduk semeja dalam masa terdekat.
Annuar juga menegaskan secara asas formula yang sepatutnya digunakan adalah kesemua 55 kerusi yang dimenangi UMNO pada PRU-14 lalu perlu diberikan keutamaan kepada UMNO untuk dipertahankan dan parti lain perlu bertolak ansur mengenainya.
“Ada lagi 11 kerusi yang UMNO mendapat undi lebih tinggi daripada PAS. PAS pula mempunyai enam kerusi yang memperoleh lebih banyak undi daripada UMNO.
“Justeru, PAS boleh memenangi 25 kerusi dan UMNO boleh memenangi 66 kerusi. Masih belum habis, ada kerusi lain yang boleh dipertimbangkan kepada Bersatu. Yang pasti muafakat membawa kejayaan, itu masih boleh diusahakan,” katanya.
Ditanya kedudukan kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi atas tiket UMNO tetapi penyandangnya kini sudah menyertai Bersatu pula, Annuar berpandangan bahawa UMNO perlu diberi keutamaan untuk bertanding di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa pertimbangan boleh dibuat melalui rundingan, terutama membabitkan sesetengah kerusi dimenangi Bersatu pada PRU-14 yang mungkin boleh diberi kepada UMNO pada PRU-15.
“Sebagai contoh Parlimen Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun, Muar, Seri Gading atau Simpang Renggam. Ini kerusi yang dimenangi Bersatu tetapi ahlinya (ketika itu) kini sudah pergi ke ‘tempat lain’.
“Secara dasarnya, 55 kerusi dimenangi UMNO perlu dipertahankan oleh UMNO, namun bukanlah tegar. Itu biarlah Presiden berunding dengan Presiden,” katanya.
Mengenai siapa yang sepatutnya memegang jawatan Perdana Menteri pula, Annuar yakin ia juga boleh diselesaikan menerusi rundingan.
“Kuota (menteri) pun boleh diwujudkan, tiada masalah. Itu tugas Presiden ketiga-tiga parti. Lebih baik bertanding sikit dalam gabungan dan menang banyak, daripada berebut dan bertanding banyak tetapi akhirnya menang sikit,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI