16 MAC: Tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah, selaras kehendak masyarakat Islam di negara ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Pengerusi Bersama Muafakat Nasional Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Tan Sri Noh Omar yang menyifatkan umat Islam cukup resah serta bimbang dengan keputusan terbabit.
Jelasnya, keputusan berkenaan dilihat menggugat sensitiviti umat Islam dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.
“Muafakat Nasional Selangor berpendirian bahawa keharmonian antara rakyat pelbagai bangsa dan agama, perlu dikekalkan tanpa memberi mencetuskan apa-apa ruang yang boleh menjejas serta memporak-perandakan kestabilan sedia ada
“Ini termasuk hak menggunakan kalimah Allah yang sebelumnya tidak pernah diganggu mana-mana pihak ,” kata mereka hari ini.
Menurut mereka, rayuan itu diharap dapat dipertimbangkan dan mendapat keputusan paling saksama supaya rakyat Malaysia dapat kekal hidup aman damai tanpa mencabar sebarang status quo serta amalan yang ada.
Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah serta tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi pendidikan.