16 MAC: Polis telah mengenal pasti pemilik akaun sebuah laman sosial yang dilihat cenderung menghasut orang ramai menentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan telah dijalankan pihaknya Sabtu lepas terhadap pemilik akaun Facebook Mujahidah Malaysia yang mengeluarkan beberapa kenyataan mempertikaian keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penggunaan kalimah Allah.
Beliau berkata, kenyataan yang dibuat menerusi video berdurasi 12 minit 34 saat itu bersifat menghasut dasar agama dan perkauman.
“Suspek bagi kes ini telah dikenal pasti dan akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.
“Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Terdahulu, Peguam Cara Negara, Datuk Abdul Razak Musa, semalam, mengesahkan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut agama Kristian bagi tujuan pendidikan hari ini.
Notis berkenaan difailkan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam berdasarkan salinan notis yang diperolehi pihak media.
Notis rayuan tersebut difailkan ekoran Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.
Selain kalimah Allah, Mahkamah turut memutuskan tiga lagi perkataan iaitu Kaabah, Baitullah dan solat dibenarkan penggunaannya dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.
Nor Bee dalam penghakimannya, berkata penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu bagaimanapun hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) dan lambang salib pada kulit buku.
Pada 2008, Jill Ireland memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan.
Pada 2014, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill dan memerintahkan supaya kesemua lapan cakera padat itu dipulangkan namun tidak membuat sebarang penghakiman mengenai relif-relif lain yang dimohon.
Keputusan kes itu mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.