16 MAC: Kementerian Kewangan sedang mengkaji untuk memperluaskan asas pendapatan negara termasuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta menilai semula pakej insentif cukai untuk mengukuhkannya dan menjadikannya lebih bersasar serta strategik.
Timbalan Ketua Setiausahanya, Zakiah Jaafar, berkata kementerian akan melakukan beberapa pembaharuan fiskal yang besar untuk mengukuhkan kapasiti pendapatan negara apabila berlaku pandemik dan menyebabkan krisis.
“Sekarang, kami sedikit terganggu untuk mengekalkan pendirian kitaran balas sehingga pemulihan berlaku sepenuhnya walaupun ruang fiskal terhad.
“Kami sedang mengkaji pembaharuan cukai baharu, termasuk mengkaji semula struktur cukai sedia ada dan kemungkinan cukai baharu akan dikenakan.
“Bagaimanapun, kami menyedari mengenai impak dan masanya. Bagaimanapun, kerajaan akan menunggu sehingga ekonomi stabil sepenuhnya dan aktiviti kembali normal sebelum membuat sebarang perubahan besar,” katanya pada perbincangan panel pelancaran laporan utama Bank Dunia, “Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development” hari ini.
Negara pada masa ini hanya mencatatkan 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pendapatan cukai yang agak rendah berbanding negara berpendapatan tinggi.
Dalam tempoh pandemik ini, Zakiah berkata, ruang fiskal tambahan diwujudkan dengan menubuhkan Dana COVID-19 di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan, membolehkan perbelanjaan lebih besar melalui pinjaman dalam tempoh terhad.
“Oleh itu, kerajaan mempunyai fleksibiliti tambahan untuk meminjam jika sokongan lanjut diperlukan untuk ekonomi walaupun kekurangan hasil.
“Bagaimanapun, pada masa depan, kami mengakui ruang fiskal digunakan semasa pandemik ini perlu dibina semula,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai prestasi pertumbuhan yang baik dan sudah pulih dalam tempoh setahun daripada setiap lima krisis dialaminya sejak lima dekad lalu dan yakin akan sekali lagi mencatat sejarah.
“Kita juga mempunyai rekod prestasi fiskal yang baik. Kita berada di landasan pengukuhan bersepadu sejak dekad lalu, namun perlu memberi tumpuan untuk menguruskan krisis semasa.
“Oleh itu, apabila ekonomi pulih, kami akan berusaha kembali mengukuhkan kedudukan fiskal kita,” katanya.