16 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM), baru-baru ini, menerima 25,000 unit kit ujian bernilai lebih RM520,000 daripada Siemens Malaysia bagi membantu kerajaan memerangi COVID-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba, berkata terdahulu, sebanyak 12,500 bagi kumpulan pertama kit ujian yang diterima daripada syarikat itu sudah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan.
“KKM berterima kasih kepada Siemens Malaysia di atas sokongan berterusan dalam membantu kerajaan menangani COVID-19.
“Pada masa sama, kementerian mengharapkan industri akan terus menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan dalam melalui krisis kesihatan ini,” katanya menerusi muat naik di Facebook selepas menerima kunjung hormat daripada pihak Siemens Malaysia, semalam.
Acara itu dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia Sdn Bhd, Adam Yee dan Pengarah Urusan Siemens Healthcare, Rod Frazer.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa KKM, Fabian Bigar. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN