16 MAC: Dua dokumen berkenaan kes rogol membabitkan pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful telah diserahkan oleh pihak pendakwaan kepada Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini.
Ketika sebutan semula kes rogol tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian, memaklumkan perkara itu ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rihaida Rafie, hari ini.
Beliau berkata, dua dokumen perubatan dari Hospital Shah Alam dan Hospital Temerloh, Pahang sudah diserahkan oleh pihaknya kepada pihak pembelaan.
“Bagaimanapun, satu lagi dokumen perubatan dari Hospital Kajang dan satu laporan kimia belum diserahkan dan akan diberi kepada pihak pembelaan dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Peguam, Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal mengesahkan menerima kedua-dua dokumen perubatan itu.
Hakim Rihaida Rafie kemudiannya, menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Syed Shah Iqmal, 25, pada 10 Disember 2020 mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 Shah Alam, pada 11.35 malam, 11 September 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Syed Shah Iqmal turut didakwa mencabul kehormatan seorang penuntut kolej swasta wanita di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas kesalahan melakukan persetubuhan di luar tabii ke atas mangsa yang sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana, 17 Oktober 2020.