16 MAC : Satu bentuk blueprint wajar diusahakan kerajaan di pelbagai peringkat yang perlu bermula dari sekolah agar Macau Scam dan apa-apa jua bentuk penipuan lain tidak membarah dalam masyarakat di negara ini.
Dalam masa sama, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu serius dengan kerjasama pelbagai agensi-agensi kerajaan lain agar jenayah ini dapat diperangi secara habis-habisan.
Menurut beliau, agensi-agensi penguat kuasa terutama PDRM, pihak berkuasa tempatan, kastam dan imigresen wajar melaksanakan polisi pembersihan dengan konsisten agar maruah dan reputasi mereka bebas dari pegawai-pegawai yang korup hingga sanggup bersekongkol dengan penjenayah.
“Kerana nila setitik rosak susu sebelangga. Itulah hakikatnya jika ada pengkhianat dalam organisasi kita. Mereka yang terbukti terlibat dengan scammer wajar dihukum penjara dan dibuang kerja, buka sekadar ditukarkan tempat kerja. Para pemberi maklumat wajar dilindungi, manakala semua penjawat awam dan pembuat dasar kerajaan terutama yang berada di jawatan berisiko rasuah wajar terus dipantau.
“Jika ada VVIP yang terlibat dalam aktiviti jenayah ini, maka saya seru agar bukan saja tindakan perundangan diambil tanpa rasa takut, malah pihak istana juga wajar menarik balik segala darjah kebesaran yang biasanya digunakan oleh kelompok tersebut.
“Ini perlu untuk menyakinkan orang ramai agar menyertai bisnesnya yang berunsur penipuan tersebut. Diharap tiada mana-mana pihak melindungi para penjenayah ini yang mungkin berlindung di bawah nama badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat atau pun parti politik,” katanya menerusi kenyataan media kepada PN BBC Portal, hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengecam tindakan seorang pegawai polis yang dipercayai bersekongkol dengan suspek sindiket Macau Scam di Pulau Pinang disifatkan sebagai satu pengkhianatan.
Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mendapati wujudnya kesalahan itu dalam kes tersebut dan beliau tidak akan berkompromi mengenai perkara tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan turut mengesahkan empat lelaki termasuk seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia ditahan bagi membantu siasatan kes sekumpulan pegawai polis yang dikatakan melepaskan suspek berkaitan kes Macau Scam pada Februari lalu.
Sahabudin berkata, empat pegawai polis termasuk dua berpangkat Asisten Superintendan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Timur Laut turut ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan