16 MAC: Lebih 321,000 rakyat Malaysia sudah menerima suntikan pertama vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sehingga semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi ciapannya di Twitter, memaklumkan majoriti daripada jumlah penerima itu adalah petugas barisan hadapan.
Dr Adham berkata, jumlah itu diperoleh daripada maklumat rasmi daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Berdasarkan maklumat itu, Selangor merekodkan penerima tertinggi dengan 38,632 individu, diikuti Perak (34,666), Sarawak (32,028), Sabah (30,433) dan Kuala Lumpur (29,937).
Pahang merekodkan sebanyak 25,525 penerima, manakala Johor (24,749), Kedah (21,171), Pulau Pinang (18,465), Kelantan (15,877), Terengganu (14,949), Negeri Sembilan (12,865), Melaka (8,251), Perlis (7,276), Putrajaya (4,165) dan Labuan (2,342).
PICK dilaksanakan menerusi tiga fasa, bermula dengan kumpulan petugas barisan hadapan, manakala kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas, bermula 24 Februari lalu.
Komitmen kerajaan memperkenalkan program itu adalah bagi memastikan 70 hingga 80 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin menjelang Februari 2022, sekali gus membentuk imuniti kelompok untuk mengekang penularan COVID-19.
Sebanyak lima kaedah disediakan kerajaan bagi membolehkan rakyat membuat pendaftaran suntikan terbabit, iaitu kaedah secara dalam talian atau secara manual.
Kaedah pendaftaran secara dalam talian adalah menerusi aplikasi MySejahtera atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my.
Bagi pendaftaran secara manual pula, rakyat boleh menghubungi talian hotline, hadir ke klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar serta pedalaman.
Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera masing-masing, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas.