17 MAC: Sebanyak 12 kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, membabitkan enam negeri.
Negeri itu adalah Selangor, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah dengan lapan daripadanya membabitkan kluster tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dua lagi kluster membabitkan penularan komuniti dan masing-masing satu kluster membabitkan pusat tahanan dan import.
“Lapan kluster tempat kerja adalah Subang Dua, Jalan Lada Sulah, Meranti Jaya di Selangor, Long Yunus dan Banggol Lepah (Kelantan), Kayu Gading (Johor) serta Jalan Perdana (Negeri Sembilan).
“Dua kluster komuniti membabitkan Jalan Hang Tuah di Johor dan Taman Ria Enam di Sabah.
“Kluster pusat tahanan pula adalah Tembok Muhasabah di Johor, manakala kluster import membabitkan Andromeda, juga di Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi semasa jangkitan COVID-19 hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, penambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 1,267 kluster setakat ini dengan 429 kluster aktif.
“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah sebanyak 58 kluster.
“Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah kluster Subang Dua (146 kes), kluster Jalan Setia Jaya (57 kes) dan kluster Kompleks Perabut (43 kes),” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN