17 MAC: Malaysia mencatatkan 1,219 kes baharu COVID-19 hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu sebanyak 327,253 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 499 kes daripada keseluruhan kes dilaporkan hari ini.
Negeri lain yang mencatatkan pertambahan kes tiga angka adalah Sarawak dengan 225 kes dan Johor sebanyak (169).
“Pulau Pinang mencatatkan 69 kes baharu, Kuala Lumpur (54), Negeri Sembilan (46) dan Perak (36).
“Turut mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini adalah Kedah dengan 26 kes, Melaka (20), Kelantan (19) dan Terengganu (15),” katanya dalam kenyataan.
Dr Noor Hisham berkata, hanya tiga negeri mencatatkan pertambahan kes satu angka hari ini.
“Negeri ini adalah Putrajaya dengan lima kes baharu, selain masing-masing satu kes di Labuan dan Perlis,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kes terbaharu yang memerlukan Rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 154 kes.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 64 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Kes kematian dicatatkan hari ini adalah dua kes, membabitkan warganegara di Sabah,” katanya. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN