17 MAC: Had kelayakan gaji maksimum bagi Elaun Pekerja Cacat akan dinaikkan sebanyak RM300 daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sebanyak RM26 juta akan disediakan bagi tujuan itu dan mampu memanfaatkan hampir 5,000 orang kelainan upaya (OKU) yang terjejas dalam tempoh yang sukar ini.
“Bagi membantu program keusahawanan, termasuk memasarkan produk bakeri dan hasil tangan OKU serta warga emas, kerajaan bersetuju menambah RM20 juta untuk memperkukuh program di bawah institusi seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), hari ini.
Muhyiddin memaklumkan, golongan OKU berpeluang mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma sebagai galakan menceburi bidang perniagaan.
“Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan RM25 juta di bawah Skim Mikrokredit ISTIMEWA bagi golongan OKU menceburi bidang perniagaan dengan had pembiayaan sehingga RM50,000 dan kadar faedah serendah tiga peratus,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata, program eBelia bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia akan ditambah baik dengan nilai kredit menerusi program berkenaan ditingkatkan daripada RM100 kepada RM150.
Katanya, program khusus untuk golongan berusia antara 18 hingga 20 tahun serta pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa itu yang bermula Jun ini, bakal memanfaatkan dua juta orang dengan peruntukan RM300 juta.
“Bagi menggalakkan penyertaan anak muda bandar dalam projek keusahawanan, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) akan diperluas dengan tambahan peruntukan RM10 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan untuk 2021 bagi program ini sebanyak RM21 juta.
“Justeru, seramai 1,800 peserta akan mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus disertai,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bagi setiap isi rumah yang mempunyai anak bersekolah akan menerima subsidi pembelian telefon pintar atau peranti baharu sebanyak RM300.
Perdana Menteri berkata, insentif berkenaan adalah penambahbaikan bagi subsidi pembelian telefon sebanyak RM180 yang dilaksanakan kerajaan bagi penerima BPR seperti diumumkan melalui Belanjawan 2021.
“Peruntukan program ini akan ditingkatkan kepada RM2 bilion dan insya-Allah, akan dilancarkan awal Mei.
“Saya menyeru syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej internet mampu milik dan terus menyediakan kuota tambahan,” katanya.