17 MAC: Keputusan Munaqasyah Khas Isu-Isu Semasa Mufti-Mufti Seluruh Malaysia dan Alim Ulama’ Berkaitan Isu Kalimah Allah akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata beliau bersyukur dan gembira dengan keputusan munaqasyah khas yang berlangsung di Putrajaya, semalam.
“Alhamdulillah, Munaqasyah Khas Isu-Isu Semasa Mufti-Mufti Seluruh Malaysia dan Alim Ulama’ Berkaitan Isu Kalimah Allah telah berlangsung dengan jayanya hari ini. Saya mengucapkan sekalung penghargaan atas komitmen dan kesungguhan para Ashabus Samahah Mufti-Mufti dan alim ulama’ yang dijemput bagi menyampaikan buah fikiran masing-masing.
“Menjadi kelaziman bagi isu-isu hal ehwal Islam di Malaysia terutamanya di peringkat nasional, sebarang bentuk resolusi, usul dan pandangan akan disampaikan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja. InsyaAllah setelah menerima titah perkenan daripada Majlis Raja-Raja, resolusi tersebut akan dimaklumkan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya.
Terdahulu, Zulkifli berkata satu pertemuan dengan mufti di seluruh negara dan pakar undang-undang bagi memuktamadkan resolusi berkaitan isu kalimah Allah diadakan semalam.
Menerusi perkongsian di portal al-Bayan, Zulkifli berkata, cadangan pertemuan bersama mufti itu dibuat selepas perbincangan bersama Panel Kajian Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Penasihat Undang-Undang Jakim, Jumaat lalu.
Portal al-Bayan adalah portal yang dibangunkan oleh pejabat Zulkifli yang menggabungkan 13 agensi di bawahnya untuk menyalurkan maklumat berkenaan hal ehwal agama Islam di Malaysia.
Zulkifli berkata pertemuan tersebut antara lain bagi mendapatkan kesepakatan mufti dan pakar undang-undang kerana tindakan segera yang teratur dan berprinsip perlu memandangkan isu itu membabitkan aspek teknikal.
Berikutan itu, Zulkifli menyeru umat Islam untuk terus bersatu hati bagi memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan dengan ilmu, iman dan amal.
Beliau berkata keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia akan terus menjadi teras pembangunan negara yang kita cintai bersama. – Oleh HAIKA KHAZI