17 MAC : Kerajaan menyediakan dana sebanyak RM100 juta bagi bantuan pembelian barang dapur melalui inisiatif berbelanja tanpa tunai untuk mengurangkan kos sara hidup golongan miskin di bandar.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata program itu dijangka memanfaatkan 300,000 isi rumah miskin di bandar utama bagi membolehkan mereka membeli keperluan makanan asas.
“Sebanyak RM30 juta pula akan disediakan untuk perluasan perkhidmatan program klinik bergerak kepada golongan rentan bandar, khususnya di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), hari ini.
Muhyiddin berkata, dana kepada usahawan wanita berjumlah RM30 juta turut disediakan bagi membantu mereka beralih ke pasaran dalam talian melalui kempen e-dagang perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS Mikro serta Program Shop Malaysia Online.
Katanya, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan sejumlah RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-NITA untuk menggalakkan usahawan wanita menceburi bidang perniagaan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM500 kepada golongan B40 yang kehilangan pendapatan.
Selain itu, katanya, bayaran tambahan RM500 turut akan diberikan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah.
“Kerajaan akan memperuntukkan RM1.2 bilion kepada 2.4 juta penerima untuk mendapatkan bantuan ini.
“Kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun depan ke akaun penerima,” katanya.