17 MAC: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang mengkaji semula Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut kenyataan KPWKM hari ini, akta itu kali terakhir dipinda pada lima tahun lalu.
“Sebagai langkah awal terhadap cadangan ini, KPWKM bakal bekerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Kerjasama ini bertujuan mengenal pasti kelompangan dalam akta terbabit melalui satu kajian khusus yang dijangka siap akhir tahun ini,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kementerian itu mengalu-alukan sesi konsultasi yang akan diadakan UNICEF dan OCC bersama pertubuhan bukan kerajaan, pakar, aktivis kanak-kanak dan anggota akademik bagi memastikan pandangan semua pihak diberi perhatian.