17 MAC: PAS tidak menjadikan tindakan melompat parti dilakukan individu tertentu sebagai perkara yang boleh menggugat dan menghalang perjalanan politiknya sejak penubuhan parti Islam itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan melompat keluar parti menunjukkan individu itu gagal berintegriti, manakala ahli baharu yang mendatangi PAS pula melihat mereka dapat menyesuaikan diri bersama.
Katanya, pada masa sama, PAS mengambil manfaat daripada politik ‘lompat-melompat’ itu bagi mengukuhkan perjuangannya.
“Adakala lompat-melompat boleh memperkemaskan tanah tempat berpijak, begitulah lompatan kepada PAS juga akan memperkukuhkan perjuangan parti ini.
““Ini sama juga apabila sekiranya ahli parti dirompak dan dicantas, maka diibaratkan pokok yang satu dahannya dipotong, kemudian banyak tunas baharu tumbuh serta lebih subur,” katanya menerusi muat naik statusnya melalui Minda Presiden PAS di Facebook, hari ini.
Abdul Hadi berkata, PAS pernah mengalami kemerosotan apabila ahlinya keluar atau melompat parti, malah keadaan itu berlaku di semua peringkat, bermula daripada ahli biasa sehingga pemimpin utama dan tertinggi.
Perkara itu, katanya, menunjukkan mereka yang tidak mempunyai manfaat kepada PAS akan dikeluarkan daripada parti, sekali gus ‘menyembuhkan penyakit’ yang dialami anggotanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS turut membuka pintu dan menerima mana-mana individu yang ingin masuk atau keluar parti, sama ada secara ‘berjalan, berlari atau melompat’.
”PAS sentiasa dibuka kepada semua, termasuk mereka yang dipecat daripada parti masing-masing, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1969, Tengku Razaleigh Hamzah 1990 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim 1998.
“Kenangan lalu masih terpahat di fikiran orang lama PAS yang tidak mudah lupa. Ini menunjukkan PAS sering menjadi tempat persinggahan pemimpin parti dipecat, bukan sekadar menerima penyertaan ahli biasa,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, sekiranya ada pihak yang keluar daripada PAS atau masuk menyertainya, PAS tidak seharusnya dihukum kerana parti itu hanya mengambil manfaat daripada politik lompat parti yang berlaku.
Beliau berkata, sepanjang perjuangannya, PAS mengambil pendekatan damai melalui strategi mengadakan tahaluf dan kerjasama dengan semua pihak, terutama kumpulan Islam serta bukan Islam yang tidak ekstrem.
Sebelum ini, PAS bertahaluf dengan PKR, DAP dan rakannya tanpa menggadaikan prinsip Islam dipegang erat, sehinggalah PAS dipecat kerana teguh berprinsip dan dinamik dalam berpolitik.
“Mereka menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) dipimpin bekas pemimpin PAS yang melompat keluar kerana mahu menang dengan cepat.
“Sekarang, mereka sudah bercakaran antara satu sama lain, berebut ahli sesama mereka dan sekali lagi itu juga bukan salah PAS,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, sebagai parti paling berpengalaman dalam menghadapi ‘perangai’ politik individu melompat parti, PAS tetap berjuang berpandukan kepada Islam, sejajar dasar perjuangan, pergerakan dan aktivitinya ditetapkannya mengikut landasan agaman.
Dalam usaha itu, katanya, PAS tetap wajib beristiqamah untuk menegakkan Islam sehingga banyak cabaran akan ditempuhi dan jauh perjalanan bakal dilalui.
Jelasnya, dalam memenuhi dasar itu, hanya mereka berjati diri dan berjiwa kental bersama aqidah Islam akan terus beristiqamah meneruskan perjuangannya.
“Mereka yang rapuh akan melompat keluar parti, tetapi pada masa sama, PAS terus menerima pendatang baharu dan menambahkan jumlah ahli yang akan mengalami proses tarbiah secara berterusan.
“Sejarah turut membuktikan PAS tidak tenggelam, sebaliknya kumpulan melawannya akibat terpengaruh dengan pihak tertentu tenggelam, hampir tenggelam atau akan mengalami kebocoran yang menempah maut di tengah perjalanan.
“PAS juga makhluk yang tidak akan kekal selama-lamanya, namun apa yang kekal meneguhkan parti ini adalah Islam yang menjadi aqidah dan matlamat perjuangannya, selain kemampuan untuk bergerak secara dinamik serta fleksibel dalam mengalami perubahan.
“Malah PAS diwujudkan sebagai kumpulan Islam yang meneruskan perjuangan Islam bagi menyelamatkan seramai mungkin manusia bersama Islam,” katanya.