17 MAC: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini yang berjaya melengkap Program Imunisasi COVID-19 selepas menerima dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18, di sini, sebentar tadi.
Muhyiddin berkata beliau berasa lebih yakin selepas menerima dos kedua suntikan vaksin sebentar tadi, sekali gus meningkatkan antibodi dan daya tahanan badannya terhadap wabak terbabit.
“Justeru itu, saya sekali lagi menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya tampil mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera atau secara fizikal di pejabat kesihatan daerah bagi membolehkan kita sama-sama menjayakan Program Imuninasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) 2021 yang dilancarkan, pada 24 Februari lalu.
“Ini penting bagi membolehkan negara Malaysia mencapai sasaran mewujudkan ‘imuniti kelompok’ dengan lebih cepat, sekali gus dapat melindungi diri dan keluarga kita daripada dijangkiti wabak COVID-19.
“Malah, saya difahamkan sehingga kini saya difahamkan lebih 5.6 juta rakyat Malaysia sudah mendaftarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima dos kedua vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Presint 18 di Putrajaya, hari ini
Muhyiddin menerima dos kedua selepas genap 21 hari Perdana Menteri menerima dos pertama vaksin Comirnaty itu pada 24 Februari lalu.
Selain Perdana Menteri, turut menerima dos kedua ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Pada 24 Februari lalu, Muhyiddin menerima vaksin dos pertama di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, menjadikan beliau rakyat pertama yang menerima vaksin itu di negara ini.
Sebelum itu, Muhyiddin yang tiba pada pukul 3.05 petang disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Dr. Noor Hisham.
Muhyiddin dibawa ke stesen suntikan sebelum diberi penerangan ringkas seterusnya disuntik vaksin menggunakan picagari khas Low Dead Volume (LDV) oleh Jururawat Klinik Kesihatan Presint 9, Mazirah Mokhtar pada pukul 3.16 petang.
Muhyiddin kemudian menunjukkan plakad, ‘Saya sudah lengkap dua dos’.
Beliau kemudian dibawa ke bilik khas untuk berehat selama 30 minit seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan ke atas mana-mana individu yang mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham pula disuntik dos kedua vaksin Covid-19 empat minit kemudian oleh Ketua Jururawat Kesihatan PKD Putrajaya, Lina Ibrahim.
Selain dua pemimpin itu, enam petugas kesihatan juga menerima suntikan vaksin iaitu Pegawai Perubatan, Dr. Tan Yee Ling; Penolong Pegawai Perubatan, Khairul Asraf Mohd Yasin dan pemandu Kementerian Kesihatan, Clement a/l Marai Francis manakala tiga jururawat iaitu, Lina, Mazirah dan Sheilla Mellisa Sikin.