17 MAC: Dua pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis direman selama tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan terhadap dakwaan menerima rasuah dan melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan.
Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Kangar Monica Joseph Gaisah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis.
Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 36 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan mereka di pejabat SPRM Perlis pada kira-kira 5 petang, semalam.
“Mereka didakwa menerima rasuah berjumlah RM88,000 daripada pemandu lori melalui proksi atau orang tengah pada tahun 2018 dan 2019.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya
Semalam, seramai 32 pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan dalam operasi bersama JPJ dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap sindiket melindungi pemandu lori yang membawa muatan berlebihan.
Mereka antara 44 individu dipercayai terbabit dalam sindiket itu yang ditahan dalam Op Sukat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka sejak semalam kerana tidak mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal.
Kegiatan yang dilakukan sejak 2019 sehingga tahun lalu itu terbongkar selepas kesemua mereka dipercayai menerima suapan keseluruhan bernilai RM1.64 juta.