Rayuan kompaun boleh dibuat kepada pegawai kesihatan dilantik KKM
17 MAC: Rayuan bagi mendapatkan pengurangan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan, boleh dibuat menerusi pegawai kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata rayuan itu boleh dimohon penerima kompaun dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah, seperti orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, keluarga berpendapatan rendah, pelajar, pengemis dan peminta sedekah, bagi mendapatkan potongan pembayaran melebihi diskaun maksimum 50 peratus diberikan kerajaan.
“Golongan berkenaan boleh membuat rayuan kepada KKM melalui saluran ditetapkan, iaitu di Semenanjung, mereka boleh mengemukakan rayuan ini kepada pengarah kesihatan negeri, timbalan pengarah kesihatan negeri (bahagian kesihatan awam), pegawai kesihatan daerah dan pegawai kesihatan epidemiologi daerah.
“Jika di Wilayah Persekutuan Labuan, rayuan boleh dibuat kepada pengarah kesihatan negeri, timbalan pengarah kesihatan negeri (bahagian kesihatan awam) dan pegawai kesihatan epidemiologi.
“Di Sabah, rayuan boleh dibuat kepada pengarah kesihatan negeri, timbalan pengarah kesihatan negeri (bahagian kesihatan awam), pegawai kesihatan bahagian dan pegawai kesihatan epidemiologi bahagian.
“Manakala di Sarawak, rayuan boleh dibuat kepada pengarah kesihatan negeri, timbalan pengarah kesihatan negeri (bahagian kesihatan awam), pegawai kesihatan kawasan dan pegawai kesihatan epidemiologi kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.
Takiyuddin berkata, pertimbangan untuk pengurangan nilai kompaun melebihi 50 peratus itu akan dibuat berdasarkan dokumen kelayakan.
Katanya, justeru, mereka yang ingin membuat rayuan perlu mengemukakan dokumen kelayakan untuk mendapatkan pengurangan kompaun dengan mengisi borang khas yang akan dimuat naik di laman web KKM.
“Borang ini perlu lengkap disi dan disertakan dengan dokumen kelayakan mengikut masalah dihadapi, sebagai contoh jika OKU, perlu kemukakan kad OKU kepada pegawai KKM berkenaan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, undang-undang mengenakan kompaun dilaksanakan kerajaan itu adalah bagi mengawal penularan COVID-19 dan menanganinya, bukan bertujuan menghukum atau mendera orang ramai.
Tambahnya, KKM juga sudah mengarahkan pegawainya dan polis mengenakan kompaun hanya sebagai langkah terakhir, iaitu sekiranya individu atau syarikat gagal mematuhi nasihat serta arahan diberikan.
“Kumpulan dinamakan Pasukan Penguatkuasaan Pelaksanaan ini akan memakai gelang khas di tangan ketika melakukan pemantauan dan akan melaksanakan tugasan dengan menegur, memberi arahan serta menasihatkan individu atau syaraikat, tetapi jika tidak dipatuhi, kompaun akan diberikan.
“KKM dan polis melaksanakan ini berdasarkan undang-undang. Kita faham ada pihak cuba mengelirukan orang ramai berhubung tindakan kompaun dikeluarkan, jadi kita seru mereka berhati-hati serta berwaspada dengan tindakan mereka,” katanya.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN