18 MAC : PAS tidak harus dipersalahkan dan langsung tiada kena mengena dengan kejadian lompat parti yang melibatkan pemimpin komponen Pakatan Harapan baru-baru ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sepatutnya parti dan individu yang lompat itu yang perlu dipersoal dan dipersalahkan dan bukannya PAS.
Muhammad Sanusi turut menyanggah kononnya kejadian itu turut memberi keuntungan kepada PAS.
“Parti lain lompat parti, salahkan PAS pula. Orang yang salahkan PAS tu orang bodoh. Tak sangkut paut apapun dengan PAS.
“Salahlah parti yang lompat dan orang yang lompat itu. Pasal apa nak cari pasal dengan PAS? Apa PAS buat dengan mereka,” katanya pada sidang media di Pejabat Daerah Yan, Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menyatakan akar umbi dan pemimpin PAS yang ada sekarang tidak akan melakukan tindakan seumpama itu.
“Yang ada dalam PAS kini semuanya hati ikhlas belaka. Yang tak ikhlas semua sudah lompat dah.
“Kalau masih lagi cari salah dengan PAS, orang itu sebenarnya mempunyai masalah mental,” katanya.
Hal berkenaan katanya samalah dengan pihak yang sering kali menyalahkan menteri dan ahli parlimen PAS apabila timbulnya isu-isu perundangan negara.
Sedangkan ujarnya wakil parti itu hanya 18 kerusi berbanding parti lain yang mempunyai 42 hingga 47 kerusi.
“Apa-apa salahkan wakil PAS yang 18 orang ni. Hairan juga, mereka ni sakit apa sebenarnya. Kita ada kerusi sikit, modal kecil nak suruh beli macam-macam.
“Modal RM18 agak-agaklah beli barang RM18, mana boleh beli barang harga RM100 atau RM200,” katanya.