18 MAC: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima suntikan vaksin COVID-19 Sinovac.
Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin itu hari ini daripada pegawai vaksinasi yang juga Ketua Penyelia Jururawat, Salha Abdul Samad di Pusat Pemberian Vaksin, Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
Perkara itu dimaklumkan Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerusi muat naik dikongsinya di status di Facebook.
Dalam perkongsiannya, beliau memaklumkan, vaksin Sinovac sudah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac 2021 selepas melalui penilaian ketat Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Orang ramai tidak perlu ragu-ragu dengan Sinovac kerana vaksin ini terbukti selamat dan berkesan untuk mencegah COVID-19, malah sudah digunakan di 27 negara, seperti China, UAE, Indonesia, Turki dan Brazil, membabitkan 60 juta dos.
“Ribuan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan seluruh warga kerja Hospital Rembau yang bertungkus lumus menjayakan PICK,” katanya.
Vaksin Sinovac mula digunakan di Malaysia hari ini di bawah PICK sebagai vaksin kedua selepas vaksin Pfizer.
Khairy sebelum ini dalam satu kenyataan, memaklumkan beliau membuat keputusan memilih menerima suntikan Sinovac bukan kerana vaksin keluaran Pfizer tidak bagus.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, keputusannya adalah bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat berhubung vaksin kedua berkenaan, sekali gus menggalakkan sambutan terhadap PICK. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN