18 MAC: Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin melahirkan rasa kesal kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membatalkan janji temu untuk mendapatkan dos suntikan pertama suntikan vaksin COVID-19 pada 6 Mac lalu.
Ahli Parlimen Pekan itu sebelum ini lantang mengkritik kerajaan berhubung bilangan rakyat Malaysia divaksin masih rendah.
Berikutan itu, Khairy memohon bekas Presiden UMNO berkenaan supaya tidak lagi ‘membatalkan’ janji temu vaksinasi yang ditetapkan.
Khairy yang juga Menteri Sains, Inovasti dan Teknologi berkata, dalam pada Najib mempersoalkan jumlah vaksinasi harian yang rendah, bekas Perdana Menteri itu sendiri membatalkan jadual vaksinasi seperti yang ditetapkan.
Kata Khairy, Ahli Parlimen Pekan perlu hadir pada janji temu seterusnya, bagi menggalakkan lebih ramai rakyat di Pekan untuk mendaftarkan diri, memandangkan data menunjukkan jumlah pendaftaran masih rendah dari sasaran.
“Dalam pada Datuk Seri mempersoalkan jumlah yang ‘rendah’ ini, saya turut difahamkan Datuk Seri telah membatalkan janji temu vaksinasi yang ditetapkan kepada Datuk Seri pada 6 Mac 2021 di Dewan Canselori, Universiti DRB Hicom, Pekan.
“Jadi saya berharap, Datuk Seri dapat hadir pada janji temu yang akan ditetapkan sekali lagi nanti,” kata Ahli Parlimen Rembau itu dalam maklum balas kepada catatan Najib di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Najib berkata, Malaysia telah berjaya memberi 321,331 dos vaksin sejak Program Vaksinasi negara bermula sejak 3 minggu lalu, bersamaan dengan kadar 22,138 dos sehari ataupun 0.07 orang bagi setiap 100 penduduk Malaysia.
Tegas Najib, jika kadar pemberian itu tidak dinaikkan, Malaysia akan memerlukan masa 2,345 hari atau 6.4 tahun sebelum berjaya mencapai sasaran 80 peratus penduduk Malaysia bagi mencapai imuniti kelompok.
“Namun, saya percaya dan harap kadar pemberian vaksin Malaysia akan dinaikkan dengan berkali ganda lebih tinggi lagi pada bulan-bulan akan datang.
“Marilah kita bersama-sama menjayakan Program Vaksinasi negara agar Malaysia bebas COVID-19 secepat mungkin,” katanya lagi.
Menjawab lanjut, Khairy berkata beliau amat berterima kasih kepada Najib kerana sering memberi teguran dan pandangan untuk memastikan keberkesanan PICK, tetapi komitmen seperti itu tidak harus melalui Facebook semata-mata.
Katanya lagi, beliau berharap Najib juga dapat membantu menggalakkan pendaftaran vaksinasi lebih-lebih lagi kepada rakyat di daerah Pekan memandangkan data menunjukkan, hanya 13,020 orang penduduk (bersamaan 14.4 orang per kapita) di daerah Pekan yang telah mendaftar.
“Jangan tulis dan promosi di FB sahaja, tapi turun juga di kawasan untuk menggalak dan membantu pendaftaran.
“Hanya dengan pendaftaran yang tinggi akan memungkinkan PICK ini berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya lagi.