18 MAC : Walaupun mengambil sikap berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh merumitkan keadaan, PAS akui berkecil hati dengan tuduhan dan gelaran sebagai ‘pelacur politik’.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu menganggap perkara tersebut sebagai satu provokasi untuk memecah belahkan hubungan bersama UMNO.
“Kita sebagai manusia terasa hati juga bila dituduh begitu. Jika dijawab, akan menyebabkan ketegangan sedangkan kita mahu selesaikan dengan baik.
“Sebab itu kita kena tenang. Apabila kita melenting, orang akan kata kita tidak boleh duduk bersama sebab sudah bergaduh, biarlah kita bertenang dulu.
“Macam dalam rumah tangga, bila isteri berleter, suami diam dan mungkin kenyataan sebegitu keluar dalam keadaan dia tengah marah.
“Saya harap ada sinar kerana kita percaya majoriti pemimpin dan ahli UMNO berasa perlu berada dalam Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya, hari ini
Beliau berkata diminta ketika mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyifatkan Pas sebagai ‘pelacur politik’ dan perlu ditewaskan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai hubungan dengan Bersatu, Mohd Amar berkata, kedua-dua parti dalam keadaan baik walaupun mengakui hubungan agak bermasalah kerana sejarah lama.
“Jadi kita sekarang berusaha untuk menyelesaikan isu ini supaya kedua-dua pihak boleh bertolak ansur demi kepentingan negara.
“Melalui penelitian dan kajian yang kita buat, kalau boleh duduk bersama, kita boleh dapat kemenangan yang besar dan timbul masalah jika berpecah. Tapi kita harap supaya pemimpin UMNO lebih matang dan bijaksana,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa akan menjalinkan hubungan dengan UMNO, Mohd Amar tidak mahu memberi sebarang komen.
“Jika khabar angin itu benar, Pas tidak boleh berbuat apa-apa selain berharap UMNO lebih matang untuk membuat keputusan,” katanya.