18 MAC: Keprihatinan kerajaan mengumumkan insentif golongan belia di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) semalam, disifatkan mampu menggalakkan pembabitan dan pencapaian baik anak muda dalam masyarakat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata insentif di bawah Prihatin Belia PEMERKASA dengan dana sebanyak RM376 juta itu, memperkukuhkan bantuan untuk golongan terbabit, selepas kerajaan memperuntukkan imbuhan pada Belanjawan 2021.
Katanya, melalui PEMERKASA, kerajaan memperkenalkan eBelia, iaitu program bagi menggalakkan budaya transaksi tanpa tunai kepada golongan belia, terutama berumur 18 sehingga 20 tahun dan pelajar pendidikan tinggi sepenuh masa, malah program itu akan ditambah baik dengan meningkatkan nilai kredit daripada RM100 kepada RM150 ringgit yang akan memanfaatkan 2 juta belia menerusi peruntukan sebanyak RM300 juta mulai Jun 2021.
“PEMERKASA turut menyaksikan program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) yang dilaksanakan bertujuan menggalakkan penyertaan anak muda bandar dalam projek keusahawanan, bakal diperluaskan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM10, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi program ini pada 2021 adalah sebanyak RM21 juta .
“Justeru, seramai 1,800 peserta bakal mendapat manfaat dengan latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus disertai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Reezal Merican berkata, pada pengumumannya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut memaklumkan bahawa peruntukan untuk program Tunas Usahawan Belia Bumiputera akan ditambah bagi melahirkan seramai 250 usahawan belia Bumiputera baharu.
Program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp pula, katanya akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan dan bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada seramai 2,000 orang usahawan belia.
Beliau berkata, bagi membolehkan anak muda menceburi bidang perniagaan mendapatkan pembiayaan sehingga RM50,000, Bank Simpanan Nasional (BSN) menawarkan Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA dengan kadar serendah tiga peratus.
“Saya melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas inisiatif dan pembiayaan diberikan ini kerana dapat membantu beliau, terutama mereka yang terkesan akibat COVID-19.
“Ini secara tidak langsung membantu menggalakkan industri sukan, memastikan lebih ramai belia berada dalam pasaran buruh, memperoleh manfaat tambahan, menggalakkan orang muda menceburi perniagaan dan mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.