18 MAC : Penyokong bola sepak negara akhirnya mampu melepaskan kerinduan apabila kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium berdasarkan kapasiti venue dan status terkini kawasan masing-masing selepas lebih setahun hanya boleh menonton perlawanan bola sepak di kaca televisyen.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli jawatankuasa mesyuarat menerusi persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membenarkan kehadiran penonton ke stadium menerusi standard operasi prosedur (SOP) yang ketat.
Menurut beliau, kebenaran kehadiran penonton mengikut status kawasan berkenaan iaitu lokasi dalam status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hanya dibenarkan 10 peratus atau maksimum 2,000 penonton saja.
“Kawasan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) pula dibenarkan lebih ramai penonton iaitu 25 peratus kapasiti stadium dengan maksimum kehadiran adalah 8,000 penonton.
“Kebenaran ini akan berkuatkuasa 1 April dengan dua perlawanan dalam Liga Malaysia akan dibenarkan dulu sebagai percubaan untuk menilai keberkesanan protokol penonton,” katanya menerusi sidang media di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail memberitahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM akan memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya melibatkan aspek pergerakan serta penguraian ketika perlawanan itu nanti.
“Antara SOP lain perlu dipatuhi adalah tiket hanya dijual secara atas talian, berkenaan dengan pas bermusim cara pengambilan dan perkara ini akan diumumkan KBS nanti,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, jarak antara penonton adalah 1.5 hingga dua meter sekali gus perlu dipatuhi oleh setiap penonton nanti.
“Jualan di stadium membabitkan jualan makanan dan barangan hanya dibenarkan dalam stadium saja manakala yang lain pula atau baru buka tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, dua perlawanan percubaan akan dilaksanakan terlebih dahulu yang membabitkan perlawanan Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh dan PJ City bertemu Seri Pahang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Kebenaran yang berkuat kuasa 1 April ini dengan dua perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia yang dibenarkan dahulu sebagai percubaan untuk menilai keberkesanan protokol pengurusan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH