18 MAC: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menafikan polis mengeluarkan saman kepada individu yang memakai cermin mata hitam ketika memandu.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd Nadzri Hussain menegaskan, tiada peruntukan undang-undang menyatakan memakai cermin mata hitam atau gelap merupakan satu kesalahan seperti yang didakwa dalam satu rakaman audio yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.
“Antara kandungan mesej dalam audio yang tular berkenaan berbunyi info kepada pemandu kereta atau lori yang memakai cermin mata gelap atau Ray-Ban tanpa masalah penglihatan yang melalui sekatan jalan raya, polis akan mengenakan saman sebanyak RM500 dan tiada kompaun.
“Perakam suara ini turut menyatakan dirinya telah disaman atas kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar menghentikan sebarang penyebaran mesej tidak benar dan sentiasa memastikan kesahihan sesuatu mesej tersebut sebelum dimuat naik atau dikongsi dalam laman sosial.