18 MAC: Seluruh rakyat Malaysia diseru agar bersatu serta menanam azam bagi mencapai sasaran sifar kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sasaran tersebut mampu dicapai dengan mudah dengan semua pihak mematuhi SOP ketat dan berdisiplin.
“Jadikan ini satu cabaran untuk mendisiplinkan diri juga untuk mencapai kesihatan kendiri. Dengan melakukan hal ini, pihak berkuasa tidak ada alasan untuk mengeluarkan notis kompaun.
“Sekiranya kita berjaya mendisiplinkan diri sendiri, nescaya kita akan mampu untuk mencapai sifar kompaun setiap hari,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Lam Thye memberitahu, norma baharu seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak dan sentiasa mendaftar MySejahtera kini telah menjadi budaya serta cara hidup rakyat ketika ini.
“Pengabaian norma baharu boleh mencetuskan gelombang pandemik Covid-19 yang lebih besar, sekali gus mensia-siakan pengamalan SOP sejak setahun lalu,” katanya.
Bermula semalam, individu dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh memperoleh potongan 50 peratus sekiranya dibayar dalam tempoh tujuh hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata individu ingkar SOP itu juga boleh memperoleh potongan 25 peratus daripada nilai kompaun, sekiranya dibayar dalam tempoh lapan sehingga 14 hari.
Menurutnya, rayuan bagi mendapatkan pengurangan kompaun kerana gagal mematuhi SOP PKP boleh dibuat menerusi pegawai kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Tambah beliau, rayuan itu boleh dimohon penerima kompaun dalam kalangan mereka yang mempunyai masalah, seperti orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik, keluarga berpendapatan rendah, pelajar, pengemis dan peminta sedekah, bagi mendapatkan potongan pembayaran melebihi diskaun maksimum 50 peratus diberikan kerajaan.