18 MAC : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa sukacita apabila lebih daripada 90 peratus petugas barisan hadapan hospital kerajaan di Selangor telah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.
Kenyataan dari Facebook Royal Selangor Office berkata, Baginda turut difahamkan bahawa lebih daripada 50 peratus petugas barisan hadapan hospital swasta di Selangor juga telah menerima suntikan vaksin Covid-19 masing-masing, dan dijangkakan kesemua mereka akan menerima vaksin menjelang akhir bulan Mac ini.
“Baginda Sultan sentiasa mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa mengenai data-data berkaitan kes-kes baharu Covid-19 dan juga statistik penerimaan vaksin Covid-19 daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Indera Dr. Sha’ari Ngadiman.
“Baginda turut berasa sukacita dan memuji petugas-petugas barisan hadapan khususnya di hospital-hospital Negeri Selangor yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sehingga kini.
“Baginda juga menzahirkan rasa gembira dengan perkembangan terbaharu ini dan berharap selepas menerima suktikan vaksin Covid-19, petugas-petugas barisan hadapan akan dapat berkhidmat dengan lebih tenang dan selamat tanpa tekanan,” menurut kenyataan itu.
Baginda seterusnya bertitah menasihati rakyat di Negeri Selangor yang layak untuk menerima vaksin agar mendaftar dengan segera melalui saluran yang telah ditetapkan, bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ini.
Titah Baginda lagi, rakyat jangan lalai meskipun telah mendapat suntikan vaksin dan terus mematuhi amalan norma baharu serta SOP yang ditetapkan seperti menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal, demi mengawal wabak Covid-19 ini daripada terus merebak.