18 MAC : Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus mengesyorkan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana manfaatnya mengatasi risiko walaupun terdapat penolakan penggunaannya secara meluas di beberapa buah negara.
WHO dalam satu kenyataan berkata,buat masa ini manfaat vaksin AstraZeneca melebihi risiko dan sehubungan itu pertubuhan kesihatan dunia itu mengesyorkan supaya penggunaan vaksin itu diteruskan.
WHO menekankan bahawa darah beku (venous thromboembolism) yang dikesan pada sejumlah pesakit selepas disuntik AstraZeneca, adalah penyakit kardiovaskular ketiga yang paling biasa di dunia.
Bagaimanapun setakat ini tidak ada petunjuk yang jelas mengenai hubungan langsung antara penyakit berkenaan dan vaksin.
WHO sentiasa berhubung dengan Agensi ubat-ubatan Eropah dan pengawal selia seluruh dunia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keselamatan ubat-ubatan.
Jawatankuasa Penasihat Global WHO mengenai Keselamatan Vaksin dijangka mengumumkan keputusannya mengenai keselamatan AstraZeneca hari ini.