9 MAC: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan beliau sudah menghubungi Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam berhubung isu kewujudan kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkannya.
Hamzah berkata beliau menghubungi Hamid kerana Ketua Polis Negara tidak memaklumkan kepadanya lebih awal, sebelum mengumumkannya kepada orang awam menerusi media.
“Seperti mana yang saya maklumkan sebelum ini, perkara yang KPN (Ketua Polis Negara) maklumkan kepada umum dan saya sebagai Menteri tidak dimaklumkan awal.
“Jadi semalam saya sudah pun menghubungi KPN dan meminta beliau menyediakan laporan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin KDN di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Beliau berkata, laporan penuh berkenaan diperlukan agar apa-apapun selepas ini yang diumumkan kepada rakyat adalah lebih jelas.
“Agar selepas ini perkara yang diumumkan kepada rakyat lebih jelas, tidak samar-samar atau menimbulkan persepsi yang kurang baik.
“Sebab itu saya meminta agar beliau melaporkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP),” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Hamzah meminta Abdul Hamid membuat laporan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) berhubung dakwaannya mengenai kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan gerakan dalaman pegawai muda PDRM yang mahu menjatuhkan beliau.
Hamzah yang juga Pengerusi SPP dilaporkan berkata, Abdul Hamid tidak pernah membawa isu itu kepada SPP dan ini adalah kali pertama beliau mendengar ‘ada kartel dalam PDRM.’
Dalam perkembang lain, Hamzah berkata polis tidak terus mengambil tindakan dalam isu perarakan jenazah anggota kongsi gelap baru-baru ini kerana tidak mahu dituduh zalim
Hamzah berkata tindakan sewajarnya sudah pun diambil terhadap individu terbabit dalam perarakan itu.
“Takkan kita nak ambil tindakan ketika orang itu pergi hantar jenazah? Tapi kita ambil tindakan segera selepas itu dan siasatan dah dilakukan” katanya.
Pada Rabu lalu media melaporkan polis menahan lima lelaki berusia 18 hingga 26 tahun selepas tular beberapa rakaman video memaparkan perarakan pengebumian mayat dengan kenderaan yang mempunyai lambang kongsi gelap ‘Geng 36’.
Video itu turut menunjukkan beberapa individu meletupkan mercun secara terbuka semasa perarakan, menyebabkan lalu lintas tergendala.