19 MAC: Kes baharu COVID-19 kembali meningkat apabila merekodkan sebanyak 1,576 kes, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu sebanyak 330,042 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak merekodkan jumlah tertinggi dengan 407 kes daripada keseluruhan kes dilaporkan hari ini.
Negeri lain yang mencatatkan pertambahan kes tiga angka adalah Selangor dengan 348 kes, Kuala Lumpur (175), Johor (137), Pulau Pinang (182) dan Perak (100).
“Melaka mencatatkan 54 kes baharu diikuti Kelantan (52), Negeri Sembilan (41), Sabah (33) dan Kedah (25).
“Hanya tiga negeri merekodkan pertambahan kes satu angka hari ini iaitu Terengganu sebanyak enam kes, Labuan (2) dan Putrajaya (1),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, hanya Perlis menjadi negeri tunggal tidak merekodkan sebarang kes baharu.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,996 kes sembuh dilaporkan menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 314,457 kes.
“Kes terbaharu yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 151 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Kes kematian dicatatkan hari ini adalah dua kes, membabitkan warganegara,” katanya. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN