19 MAC: DAP tidak menolak menjalinkan kesepakatan dengan parti politik lain tidak kira sama ada ia melibatkan gabungan pembangkang atau di luar gabungan berkenaan.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, kesediaan itu adalah sejajar pendirian parti berkenaan demi mencapai kebaikan buat rakyat.
“DAP sentiasa bersedia mencari konsensus dengan parti politik lain tidak kira dalam gabungan atau di luar,” kata Anthony Loke.
Mengulas persoalan berhubung kemungkinan DAP mengadakan kerjasama dengan UMNO ketika beliau ditemu bual pada program Consider This semalam, Loke berkata politik adalah dinamik, justeru parti berkenaan tidak menutup pintu kerjasama di masa hadapan.
“Namun pada masa sekarang, pendirian DAP jelas berhubung beberapa pemimpin dalam UMNO,” katanya yang merujuk kepada pemimpin UMNO yang berhadapan kes di mahkamah atau disabit kesalahan.
Loke berkata, ketika beliau berbual dengan rakyat, ada yang memberi pandangan bahawa bagi mewujudkan kestabilan, dua parti yang mempunyai perwakilan terbesar di Parlimen, iaitu UMNO dan DAP perlu duduk semeja untuk berbincang.
Bagaimanapun, katanya, beliau ingin mengingatkan bahawa perkara itu memerlukan keberanian, bukan sahaja dari satu pihak, tetapi kedua-dua pihak.
“Adakah UMNO bersedia untuk duduk semeja dan berbincang?,” soalnya.