Kerajaan negeri, agensi diharap bantu pengusaha hotel
19 MAC: Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) menyeru kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk berganding bahu menjalankan inisiatif bagi membantu pengusaha perhotelan dan pelancongan negara merangsang semula sektor terbabit.
Timbalan Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel, berkata walaupun kerajaan sudah menyediakan insentif tertentu kepada pemain sektor pelancongan seperti diumumkan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kelmarin, jumlah itu masih tidak mencukupi bagi ‘membina’ semula perniagaan.
“MyBHA menyambut baik usaha kerajaan menyalurkan bantuan kepada sektor pelancongan, tetapi persatuan yang mewakili pengusaha hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah ini mendapati bantuan masih diperlukan kerana tidak mampu membantu pemainnya bagi meneruskan operasi.
“Kami merasakan usaha kerajaan ini harus diikut kerajaan negeri dan agensi melalui pemberian sumbangan atau inisiatif bagi membantu memberi impak lebih berkesan untuk meransang sektor pelancongan yang terjejas teruk dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19,” katanya.
Ganesh berkata, penutupan sempadan negara dan negeri menjadi faktor yang menyumbang kepada ketiadaan pelancongan domestik serta kekurangan pelanggan hotel, justeru pertimbangan dan kebenaran untuk merentas negeri harus diberikan untuk tujuan berkenaan bagi merancakkan semula sektor pelancongan.
“Memandangkan sektor ini amat terkesan dengan pandemik, kami juga memohon keprihatinan kerajaan untuk menawarkan pakej ransangan khas bagi membantu penggiatnya,” katanya